Friday, May 24, 2013

tabahnya hati itu

Pagi ini aku dikejutkan dengan satu mesej ringkas dari seorang sahabat "innalillah,ayah siti*bukan nama sebenar telah meninggal dunia pagi ini...."

Allah!terus bulat biji mata aku yang pada mulanya begitu berat untuk diangkat. Sesungguhnya mesej itu menyentap kalbu. Terus ingatan ku berpusat pada Siti. Seorang Siti. Ya Allah dugaanMu tak mengira waktu tapi dugaanMu hanya menimpa orang yang mampu. Aku yakin itu.

Di saat teman-teman lain bertungkus lumus menyelak nota, membelek buku, dugaan itu datang bertamu. Aku sangat terkesima. Termangu-mangu beberapa ketika di atas katil sebelum bertindak menghubungi sahabat yang telah menyampaikan berita untuk mendapatkan kepastian. ya!memang dia.benar ayah dia yang telah kembali ke rahmatullah. lalu aku terus menyebarkan berita pada teman-teman yang mengenali dia.

tidak sampai beberapa minit, aku terima banyak balasan dan salah satunya berbunyi..."tadi mimi jumpa dia kat depan gate, dia tengah menangis teresak-esak tunggu kak ipar ambil dia..."

Ya Allah, serasa ingin ku terbang ke seremban detik itu juga. Menenangkan hatinya sekiranya aku mampu. Siti yang selama hampir lima tahun ku kenali seorang yang cool.sangat cool, ceria dan tak pernah lagi aku melihat dia menitiskan air mata. Setelah menerima perkhabaran itu aku terus memikirkan bagaimana keadaan dia menghadapi sebuah kehilangan di saat-saat genting peperiksaan. 

Benarlah. Ujian Allah hadiahkan pada yang mampu menanggungnya. Ketika aku dan teman yang lain seramai tujuh orang menziarahi dia, dia menyambut kami dengan senyuman. Senyuman biasa yang dia lemparkan. Senyuman 'cool'. Aku berbisik sendiri penuh kagum. Betapa cepat dia pandai mengawal diri. Mengawal emosi agar tidak terus tenggelam dalam lautan duka. Betapa dia pantas memujuk hati meredhai takdir yang telah tertulis. Subhanallah. UjianMu benar-benar tidak tersalah memilih insan untuk memikulnya. 

Namun, aku turut merasa sebak, melihat dia ketawa dan ceria melayan kami, aku tahu dalam hatinya tidak seperti luaran. Aku tahu hatinya sarat dengan kesedihan. Kesan sembap menangis jelas di wajahnya. Dan raut duka itu begitu jelas saat menceritakan detik-detik pemergian ayahnya. Aku sangkakan dia akan menangis sambil bercerita, tapi subhanallah, dia begitu tabah mengawal rasa. Terus bercerita seperti tiada apa. Sahabat, ketabahanmu sungguh luar biasa. Jiwamu sangat kental menerima takdirnya. Dia bercerita dia menangis sebelum sempat emaknya memberitahu pemergian ayahnya ketika menelefon seawal pagi. Dia seperti sudah dapat mengagak ayahnya telah tiada. 

Dan sebelum kami beredar sempat lagi dia bergurau, "kak anim datang lambat sangatlah, tak sempat nak tengok drama" sambil gelak dia menyalamiku.
"haa??drama apa?" soalku bersama blurnya.
"drama air mata"
T__T
rasa ingin ku selami hatinya mencari di celah mana dia menyembunyikan rasa sedih itu sehingga mampu bertenang setenang itu. Ya Allah aku mohon hadiahkan ganjaran sebesar-besarnya kepada sahabatku dan seisi keluarganya kerana tabah dan sabar menghadapi dugaanMu. Limpahkan kesabaran dan ketabahan berlipat kali ganda kepada mereka.

Rasulullah saw bersabda:
"Sungguh ajaib keadaan orang yang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia besyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya"
-Hadis Riwayat Muslim-

dan aku cuba meletakkan diri ditempatnya. seandainya aku yang terpilih menggalas ujian itu, mampukah aku???
dan saat insan lain diduga sebegini hebat, tapi masih mampu bertenang dan redha, mengapa aku yang hanya diuji sedikit terlalu cepat mengalah dan merintih. Ya Allah pinjamkan aku ketabahan seperti hati itu. hati yang sangat luar biasa itu.

alFatihah buat arwah. moga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Moga rohnya dicucuri rahmat.Ameen ya Rabb.

*melalui perjalanan yang panjang hari ini. dari siang bawa ke malam tapi tetap merasa puas dapat menatap wajahmu, sahabat. Alhamdulillah, dengan izinNya. moga diberi kemudahan menjawab exam sabtu ni, sahabat.


No comments: