credit to google
lelah menatap bumi
menghadap bermacam kerenah saban hari
sampai hati bagai tak berupa hati
lantaran dirobek dengan lidah berpisau tanpa simpati
letih memandang bumi
yang penuh kisah silih berganti
episod suka duka datang bertali
damai pantas menghilang
kemarau pula bertandang
namun begitulah kehidupan
bumi mana tak ditimpa hujan
bumi mana panas berpanjangan
semua itu sudah aturan
bukan kuasa kita menentukan
jadi hentikanlah senandung rintihan
ujian datang untuk menguatkan
bukan merebahkan
apatah lagi memutuskan harapan
bukankah ada kalam Tuhan
bersama kesulitan itu adanya kesenangan
janji Tuhan mengapa mahu dipertikaikan
mendongaklah ke langit
mengukur luas semesta
saat kau rasa terhimpit
di atas bumi yang kau berpijak
dan simpan kemas dalam kotak fikiranmu
rahmat Allah seperti luasnya langit biru
malah lebih dari itu
tiada sempadan untuk dirayu
***dedikasi buat diri juga sahabat yang sedang hebat diuji. mari beringat sahabat, saat segunung ujian menghempap kita, selangit rahmat tetap setia. malah rahmatNya lebih luas dari bumi dan segala isinya. tiada sempadan. lalu untuk apa kesedihan itu dan ini. lepaskan. jangan biar ia bernanah, membusukkan hati, melemahkan jiwa. ujian itu medan muhasabah. selamat bertabah!
No comments:
Post a Comment