Sunday, February 2, 2014

cinta dan air mata

pagi pagi buta ni ada seorang sahabat berkongsi cerita. cerita patah hati. cerita cinta tak kesampaian. cerita cinta dan air mata.

aku yang mendengar tergamam. terus terbayang seandainya aku berada di tempat dia. ya Allah,moga diberikan ketabahan berlipat kali ganda.

cinta tak kesampaian. wajiblah sedih. kehilangan. pasti akan rasa kehilangan. apatah lagi bila sebelumnya kita sudah beria-ia menganyam angan-angan, memintal harapan untuk sehidup semati. tapi apapun impian yang cuba kita bina dan berusaha memaknainya, jangan lupa kita hanya manusia biasa.kita hanya ada asa, tapi yang punya kuasa hanya DIA.

jodoh itu rahsia Allah. hanya DIA yang tahu siapa, bila, dimana dan bagaimana kita bertemu jodoh kita. dan bila Allah meminjamkan rasa yang bila -bila sahaja boleh diambil kembali itu, hendaklah kita sebagai peminjam menyedari hakikat seorang peminjam. bersederhanalah. jangan sampai masa rasa itu ditarik pergi,menghilang dari diri, kita sasau tak henti-henti.

suka aku meminjam kata-kata entah siapa, "mencintai tak bermakna memiliki". kerana itu dari awal lagi kita harus bersedia dengan segala kemungkinan. kerana skrip takdir bukan di tangan kita, tapi ditangan Pencipta.

sekali lagi. bersederhanalah. biar nanti suatu ketika takdir tak memihak padamu, kau tidak akan tersembam menyembah bumi, kerana tongkatmu sudah terlalu utuh untuk menahan rebahnya sebuah kekecewaan.

buat sahabat,
aku memahami taufan dihatimu
namun jangan biarkan ia terus mengganas menggoyahkan prinsipmu
Allah sedang berbicara denganmu
Allah sedang menyusun yang lebih baik untukmu
mana perginya keyakinanmu, sahabat.
bersedih jangan sampai diri dizalimi
menyesal jangan sampai takdir disalahi
saat kau diuji begini
jangan terus terduduk lumpuh
bukankah kesulitan itu datangnya bersama kemudahan
lalu mengapa yang sulit itu terlalu memegunmu
sehingga kau melupakan si mudah yang juga kiriman dari Tuhan
jangan tertipu dengan ujian
ujian itu untuk menguatkan bukan melemahkan.

be strong, sahabat.
wallahua'lam.